8.3 Kepentingan Sistem Pengurusan Maklumat
Kepentingan Sistem Pengurusan Maklumat
Sistem pengurusan maklumat atau Learning Management System (LMS) merupakan inisiatif Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) dan MAMPU yang mendatangkan pelbagai maslahat kepada
para pelajar dan organisasi. LMS kini memainkan peranan yang dominan dalam pembelajaran
era baru. Dalam transformasi pendidikan, satu sistem pengurusan maklumat yang
sistematik dan cekap amat diperlukan untuk menguruskan maklumat seperti
maklumat staf, maklumat pelajar, maklumat pembelajaran, maklumat sumber
pendidikan dan maklumat perancangan dan penyelidikan. Persoalannya, apakah
kepentingan sistem pengurusan maklumat kepada masyarakat?
Merenung sekejap memikirkan rasionalnya, salah satu
kepentingan LMS adalah membenarkan perkongsian maklumat dalam sesebuah kumpulan
yang besar terutamanya antara pelajar dengan pihak luar. Hal ini demikian
kerana LMS telah memudahkan penyimpanan banyak jenis maklumat sama ada sekolah,
universiti, Jabatan Pendidikan Negeri dan semua bahagian di Kementerian
Pendidikan. Dengan menggunakan sistem ini, pihak sekolah dapat memperoleh
maklumat pelajar dengan cepat jika berlaku hal kecemasan berbanding mencari
maklumat secara manual. Pihak kementerian dan sekolah juga boleh memantau
pencapaian dan pembelajaran pelajar secara jarak jauh melalui sistem ini agar
prestasi pelajar sentiasa berada pada tahap yang terkawal. Penggunaan LMS turut
dapat meningkatkan kecekapan dan kualiti seseorang pekerja. Sistem ini telah
menjimatkan masa dalam pelbagai aspek kerana maklumat yang hendak diperlukan
dapat diperoleh dengan cepat dan maklumat itu tidak perlu ditaip semula. Oleh
itu, sedikit masa sahaja yang diperlukan untuk pekerja menguruskan maklumat
semua staf dan pelajar, secara tidak langsung meningkatkan produktiviti
organisasi kerana tidak lagi diganggu oleh masalah pengurusan.
Selain itu, LMS memudahkan pelajar memperoleh maklumat
pendidikan dengan cara yang mudah. Hal ini kerana LMS meyediakan satu platform
pembelajaran secara atas talian, iaitu e-pembelajaran yang efisien bagi
membolehkan pelajar mendapatkan maklumat pendidikan yang terkini sepanjang
masa. Pelajar juga boleh meneroka ilmu baharu menerusi perpustakaan digital
atau laman sesawang serta berkesempatan berbincang maklumat dengan pensyarah
atau pakar yang berpengalaman dari universiti atau tempat lain menerusi emel
atau blackboard. Dengan adanya LMS,
semangat belajar dalam kalangan pelajar dapat ditingkatkan dan pelajar akan
memberikan lebih tumpuan kepada hal-hal yang berkaitan dengan
pengajaran-pembelajaran. Tambahan lagi, boleh dikatakan bahawa LMS telah
meringankan kerja tenaga pengajar kerana sistem ini membolehkan mereka menyampaikan
arahan, menghantar pengumuman dan berhubung dengan pelajar secara individu. LMS
juga menyediakan satu penyimpanan data yang lebih selamat. Hal ini dapat
membantu pengajar untuk menyimpan bahan kelas sama ada persembahan yang
diadakan dalam kelas atau memudahkan salinan kedua bagi tugasan kelas dibuat
dan disimpan di tempat yang selamat. Secara langsung, profesionalisme perguruan
dapat ditingkatkan.
Jika ditinjau dari perspektif yang lain, sistem
pengurusan maklumat membolehkan pembelajaran dilakukan di mana dan pada
bila-bila masa sahaja. Hal ini menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan
pelajar dengan membolehkan pelajar merancang jadual pembelajarannya dengan
lebih berkesan dan efektif. Kesannya, murid dapat menguruskan masanya dengan
bijak dan mampu mengisi masa lapangnya dengan aktiviti yang berfaedah. Di
samping itu, LMS berupaya menggalakkan perbincangan sesama rakan sekelas secara
maya dilakukan untuk mengakses kepada bahan pembelajaran. Sementalahan itu,
tidak dapat dinafikan bahawa LMS melibatkan penggunaan kos secara efektif
kerana kos latihan dapat dikurangkan melalui pelbagai cara. Satu sistem yang
sistematik untuk menyelenggara sesuatu program dapat diwujudkan dengan adanya
LMS kerana kesemua maklumat latihan dapat digabungkan ke dalam satu sistem. Kelebihan LMS kepada pengurus pusat pembelajaran pula adalah untuk
menguasai penggunaan suatu perisian kursus dan dapat menyalur bahan dari
pelbagai sumber.
Ulasan
Catat Ulasan